adsense 728x90


Recent Post

23 May 2012

Ebby Yus Usaha Keras Demi ‘Adam Lai Restoran’



Ebby Yus usaha keras demi 'Adam Lai Restoran'
Sebut sahaja nama Ebby Yus, pasti ramai terbayang wajah pelawak ini yang sering menggunakan loghat negeri kelahirannya, Negeri Sembilan. Mula melangkah dalam bidang seni sejak 1983, pemilik nama sebenar, Muhammad Yunus Abdul Rashid, 47, masih aktif dalam bidang lakonan sehingga kini.
Mengakui masih menerima pelbagai tawaran lakonan, kini aktiviti seninya terpaksa dikurangkan untuk memberi komitmen dalam bidang perniagaan makanan yang baru dikendalikannya. Tidak pernah berhasrat untuk berundur dari bidang seni yang diceburi sejak tiga dekad lalu, perniagaan ini adalah percaturan Ebby untuk melebarkan kerjayanya dalam bidang yang lebih memberi jaminan.
Mempertaruhkan, Adam Lai Restoran, yang terletak di Seksyen 15, Shah Alam, Ebby mendapat kerjasama daripada tiga rakan kongsinya, Muhammad Adam Lai Abdullah, Faizal Abdul Jabar dan Mohd Helmy Harun.
Berkonsepkan masakan Cina Muslim, Adam Lai Restoran, yang baru sahaja diperkenalkan sejak 11 Mac lalu, mendapat sambutan yang menggalakkan. Bukan sahaja pelanggan beragama Islam, restoran ini turut menarik perhatian bangsa lain seperti India dan Cina bagi menikmati hidangan kegemaran mereka.
"Alhamdulillah, untuk tiga bulan pertama, sambutan sangat memberangsangkan. Kami cuba menyediakan perkhidmatan yang terbaik untuk pengunjung. Lebih 100 jenis menu ditawarkan kepada penggemar masakan Cina Muslim yang mengalami kesukaran mendapatkan hidangan halal.
"Antara menu istimewa yang disediakan ialah Adam Lai Chicken, Golden Pumpkin Taufu, Steam Suen Star Spot with Essense of Chicken, Ling Sim Steam Chicken, Butter Prawn, Sichuan Cold Spicy Chicken, Loo Up Duck dan Coconut Prawn," jelas Ebby yang pernah memiliki restoran di Kampung Baru.
Restoran ini juga menawarkan pelbagai jenis ikan, termasuk siakap, kerapu dan bawal emas yang dihidangkan dalam bentuk stim halia, stim cili padi taucu, kari nyonya serta cheong pao.
Selain itu, terdapat juga daging lembu dan rusa yang dihasilkan dengan tujuh jenis masakan, seperti wok chai, kong pao, black pepper, kam heong serta clay pot.
Restoran yang mampu memuatkan hampir 300 pelanggan dalam satu masa ini beroperasi pada jam 11 pagi sehingga 11 malam. Selain itu, terdapat juga dua bilik VIP berasingan yang memuatkan 20 tetamu. Restoran ini juga menawarkan harga yang berpatutan dan lebih rendah berbanding restoran Cina Muslim yang lain.
Pemilihan nama restoran
Walaupun restoran ini melibatkan empat rakan kongsi, namun mereka sepakat menggunakan nama salah seorang daripada mereka yang juga chef, Muhammad Adam Lai Abdullah. Menurut Ebby, nama Adam Lai dilihat lebih sinonim dengan Cina Muslim, bersesuaian dengan konsep restoran.
"Adam telah memeluk Islam sejak tahun 2007 dan pernah bekerja di beberapa restoran Cina Muslim termasuk Mohd Chan. Adam memiliki 20 tahun pengalaman memasak. Dia mempunyai ramai rakan yang berbangsa Cina di Singapura. Jadi, jika terdapat menu terbaru, Adam akan cuba mempraktikkan menggunakan caranya sendiri," katanya.
Jelas Ebby, untuk memastikan kualiti makanan, restorannya mempunyai pembekal bahan mentah sendiri. Bekalan bahan mentah seperti makanan laut akan diambil dua hari sekali, manakala sayur pula, setiap hari.


Smiley :)
:D
:)
:[
;)
:D
:O
(6)
(A)
:'(
:|
:o)
8)
(K)
(M)

No comments:

Post a Comment

Suka tak entri ni? Bagi komen sikit, nanti saya balas.