Pelakon baru akui buat kesilapan hingga jadi bahan teguran dalam media massa
HAMPIR dua tahun memilih jalan sebagai anak seni, Nur Fathia Abd Latiff berdikit-dikit mencuri ruang untuk bersaing dengan pelakon sedia ada dan bakat baru yang seangkatan dengannya. Cuma, sejak setahun lalu baru nama si tinggi lampai berusia 24 tahun ini berjaya mencuri perhatian sekali gus dikenali ramai peminat hingga melayakkannya menjadi finalis kategori Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011.
Namun, sayang di saat kehadiran gadis berasal dari Ayer Hitam, Pulau Pinang ini semakin mula diperkatakan secara meluas, kerjaya seninya tak semena-mena dilingkari kisah kurang enak. Ia sedikit sebanyak mencalar reputasi dan kredibiliti profil penuntut jurusan Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini.
Sangkakan 'gerhana' pada tahun lalu dapat ditinggalkan dengan harapan 2012 bakal membuka citra baru dalam hidupnya, hujung tahun lalu dan awal tahun ini, bakal peguam ini sekali lagi dicuit dengan kisah tidak bergaul dan menghormati pelakon senior dan 'mengusung kekasih' di lokasi penggambaran selain bersikap demanding.
Persoalannya yang terus bermain di fikiran, tak serik atau tidak berubah lagi finalis ABPBH 2011 ini? Selesai peperiksaan akhirnya dan sekembali dari percutian ke Phuket bersama keluarga, Fathia diundang ke sesi fotografi B*POP, baru-baru ini.
Terdahulu, Ahad lalu, dia turut bersama beberapa rakan artis lain bertemu peminat di Kuching, Sarawak sempena promosi khas ABPBH 2011 menerusi tajaan Lord's Tailor.
Anggun dengan dua persalinan Ariff Shukor, solekan Valshuq dan dua rekaan barang kemas, Golden South Sea Pearls with Diamonds serta White South Sea Pearls With Diamonds dari Rafflesia The Pearl Centre, Fathia ditanya bagaimana dia mahu kembali menagih kepercayaan yang kian terhakis.
"Mungkin apa yang terjadi selama ini ada yang datang dari silap sendiri dan ada yang jelas di luar kawalan saya sebagai manusia biasa. Kalau ia datang dari kelekaan dan kekhilafan diri, saya tak segan tampil mengaku, contohnya macam isu lambat pulangkan baju sebelum ini.
"Saya sedar kontroversi dan gosip ini sudah menjadi mainan dalam dunia seni. Cuma, pada saat ini dan tempoh mendatang, saya seboleh-bolehnya tak mahu mengulangi kesilapan lama. Saya tak boleh terus di takuk lama, saya kena perbaiki diri dan lebih berhati-hati.
"Saya seperti manusia lain yang tak lepas melakukan kesilapan itu dan ini. Saya bukan malaikat atau bidadari. Setiap nasihat dan teguran teman dalam industri saya jadikan pedoman dan dorongan untuk menjadi lebih baik daripada sebelumnya," katanya saat pertemuan di premis Jewellery Circles Sdn. Bhd berdekatan dengan Rafflesia The Pearl Centre, Grand Plaza Parkroyal, KL.
Jauh sekali mahu menuding pihak lain, Fathia lebih selesa bermuhasabah diri dan enggan lagi menoleh ke belakang kerana minatnya dalam dunia lakonan yang disifatkan sebagai kerjaya sambilan sudah mula bercambah menjadi cinta.
"Apa yang saya persembahkan selama ini sebagai Fathia, bukan plastik. Ia adalah diri saya sendiri. Tapi kita tidak boleh mengharapkan orang di luar mudah menerima cara kita. Itu adat. Dulu saya akui tidak matang dan cepat bertindak apabila dicuit atau tertekan.
"Saya tidak sedar dan rasa diri ini sebenarnya sudah bergelar figura awam dan hampir setiap inci langkah dan perbuatan kita diperhatikan. Jadi, saya perlu sedar ruang, kena relaks dan berfikir panjang dulu sebelum bertindak membuat kesimpulan sendiri. Saya perlu bersikap memerhati dan tidak boleh terlalu galak dalam setiap langkah atau tindakan. Saya tidak mahu mempersiakan kepercayaan orang.
"Malah, saya mula rasa terharu ada remaja yang melihat saya sebagai idola termasuk memberi kata semangat dalam blog dan Twitter," katanya yang sedang sibuk melunaskan baki penggambaran drama Mahabbah untuk slot Samarinda di TV3 arahan Jamal Khan bergandingan Azley Khairi bakal disiarkan tak lama lagi.
Sudah bersedia cari Mr Right
MENYINGKAP sisi peribadinya, ada cerita yang sudah mula kedengaran mengatakan Nur Fathia kini sedang menjalinkan cinta dengan lelaki yang pernah bertakhta di hati Marsha dikenali dengan pangkal huruf Z. Sebelum ini, pernah timbul cerita kekasihnya yang memandu Lamborghini datang ke lokasi penggambaran membabitkan Fathia.
Hal berkenaan tidak dinafikan pelakon filem Al Hijab itu. Cuma akui Fathia, dia tidak selesa mengkelaskan hubungan mereka sebagai pasangan bercinta. Mereka hanya sekadar berteman baik. Namun, tanpa berselindung, Fathia mengakui dia kini sudah bersedia dan masa juga sudah tiba untuk mempertimbangkan soal mencari Mr Right.
"Ikutkan sejak usia 18 tahun lagi saya sudah mengenali dia (Z). Memang dia ada datang ke set penggambaran menghantar makanan. Kebetulan saya teringin nak makan, jadi dia sudi belikan dan menghantarnya. Kami kenal dulu pun melalui kawan.
"Masa dia bercinta dengan Marsha, saya menghormati hubungan mereka dan tidak pernah menghubunginya. Jujur saya katakan selepas kami rapat kembali tempoh ini, hubungan itu masih kekal sebagai kawan. Tak berputik apa-apa langsung perasaan. Kami pernah keluar berdua dan beramai-ramai di tempat terbuka," katanya sambil memberitahu baki pengajian tinggal dua tahun lagi.
Fathia menambah lagi, saat ini juga dia sudah bersedia untuk kembali menghangatkan persada seni. Sewaktu berdepan saat getir menghadapi peperiksaan untuk pengajiannya, Fathia tidak menafikan terlalu rindu untuk berlakon balik.
"Paling mengejutkan apabila menerima pencalonan Top 5 dalam ABPBH 2011 kategori Artis Baru Wanita Popular. Sejujurnya, saya tak sangka. Dengan kontroversi dan gosip, ingatkan satu Malaysia tak sukakan saya. Tapi, Alhamdulillah masih ada yang sokong kewujudan saya.
"Bukan mahu berbunyi klise, tapi menjadi finalis sudah saya anggapkan sebagai kemenangan terbesar. Pencalonan ini mengingatkan betapa impian nak dicalonkan untuk ABPBH sudah lama, cuma belum rezeki. Teringat kembali kenangan ABPBH 2009 dan 2010, saya hadir sebagai tetamu dan tahun ini lain macam sebab bertanding sama," katanya yang sedia menerima tawaran untuk watak bertudung.
Dijangka April ini, Fathia akan ke lokasi penggambaran filem keduanya, Kotaraya arahan Idril Minhat. Filem yang diilhamkan Helmy Hamdan dan Pasha Ahmad ini mendapat kerjasama syarikat Angry Men dan Grand Brilliance. Ia akan turut dibintangi Qi dan Sara Ali.
Profil Nur Fathia
Nama sebenar: NUR FATHIA ABD LATIFF
Tarikh lahir: 1 SEPTEMBER 1987
Umur: 24 TAHUN
Asal: AYER HITAM, PULAU PINANG
Keluarga: ANAK SULUNG DARIPADA EMPAT BERADIK
Filem: AL HIJAB
Iklan: SUNSILK, NESPRAY, BRYLCREAM, HOTLINK, PERODUA DAN PANASONIC
No comments:
Post a Comment
Suka tak entri ni? Bagi komen sikit, nanti saya balas.