adsense 728x90


Recent Post

01 October 2012

Lawak Ker Der 2 lebih mantap



TIGA jam berada di Istana Budaya (IB), bagi menyaksikan Lawak Ke Der 2 (LKD2), arahan Hans Isaac pada 28 September lalu terasa cukup berbaloi.

Apa tidaknya, barisan pelawak handalan Malaysia, Boboi (Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik, Nabil), Jozan (Johan, Zizan) dan Harith Iskander berjaya menggamatkan Panggung Sari.

Membuka tirai, ternyata fenomena Gangnam Style dari PSY turut mempengaruhi Nabil Ahmad untuk tampil dengan tarian kuda itu bersama penari IB. Seawal lagu dimainkan, penonton sudah pecah perut melihat gelagat Nabil.

Nabil yang menyertai Boboi berjaya menjalankan dua watak yang berbeza-pengacara majlis dan persembahan bersama Boboi sepanjang program berlangsung.

Seterusnya, Jozan menguasai pentas dengan sketsa komedi, yang membawakan kisah watak Nazmi (Johan) dan Nazman (Zizan), serta watak Nasmida (dilakonkan Johan dan Zizan), ia nyata segar dan berbeza daripada lawak mereka yang dipersembahkan menerusi LKD musim pertama.

Selepas persembahan Jozan, Boboi pula muncul dengan sketsa yang berlatar belakangkan lapangan terbang dan suasana di dalam kapal terbang.
Kemudian barulah persembahan daripada Harith pula dipersembahkan.
Secara keseluruhan, LKD2 yang mengambil durasi selama tiga jam ini tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan LKD musim pertama.

Jozan menyerlah

Seperti biasa, kemunculan Jozan tidak pernah mengecewakan dan paling penting mereka pasti menampilkan sesuatu yang baru dan mampu memikat hati penonton.

Malah, biarpun mengambil masa sehingga 40 minit untuk sketsa Nazmi, Nazman dan Nasmida, namun penonton tidak berasa bosan kerana mereka bijak memainkan peranan.

Lucunya, dek terlalu galak bercerita, ada ketikanya mereka seperti terlupa skrip tetapi masih bijak mengawal persembahan dan ada lawak yang lahir secara spontan membuatkan penonton tidak kering gusi melihat persembahan mereka.

Persembahan mereka turut diselitkan unsur muzikal, di mana beberapa lagu seperti Bawa Ku Pergi dan lagu tema Upin & Ipin, Sahabat dinyanyikan.

Di hujung persembahan, barulah penonton dapat melihat mesej sebenar sketsa ini yang mengetengahkan kepentingan persahabatan.

Gandingan menjadi

Mungkin bagi segelintir peminat Boboi yang sudah biasa melihat persembahan daripada Afdlin dan Harun, agak janggal menonton persembahan mereka apabila Nabil menyertai kumpulan itu.

Bagaimana pun, gandingan Afdlin, Harun dan Nabil sebenarnya satu idea menarik memandangkan berjaya memberi kelainan kepada Boboi.

Nabil wajar diberikan pujian kerana dapat menonjolkan keserasian bersama Afdlin dan Harun yang jauh lebih berpengalaman daripadanya.

Malah, jika diperhatikan, kehadiran Nabil sebagai pramugari menerusi sketsa Redha Airline yang ditampilkan menyerikan lagi persembahan itu.

Menariknya, setiap baris ayat yang terkeluar daripada mulut pelawak-pelawak ini membuatkan penonton ketawa terbahak-bahak.

Meski pun berjaya membuatkan penonton tergelak ketawa menerusi sketsa pertama, namun sketsa kedua Boboi dilihat kurang menyegat.

Hanya tampil dengan Afdlin dan Harun, sketsa kedua mereka yang mempersembahkan kisah hantu-hantu, agak bosan dan meleret.

Pun begitu, Boboi tetap mendapat tepukan gemuruh daripada penonton yang hadir.


Harith kurang menyengat

Seperti biasa Harith, akan menampilkan lawaknya menggunakan Bahasa Inggeris. Jika dibandingkan LKD musim pertama, lawaknya kali ini kurang menyengat.

Sama ada King Of Stand Comedy ini kekurangan idea, ia tidak dapat dirungkaikan.

Namun, ada sesetengah lawaknya masih dapat diterima penonton. Misalnya, apabila lawak mengenai kehidupan suami isteri diketengahkan, penonton mula ketawa tidak berhenti.

Bangga dengan barisan pelawak

Ditemui ketika sidang media selepas LKD2 berlangsung, Hans berkata, dia cukup berbangga dengan barisan pelawak malam itu.

"Walau pun masa yang dianggarkan hanya dua jam setengah meleret sehingga ke tiga jam, tetapi saya sangat berpuas hati dengan mereka.

"Saya yakin penonton juga begitu. Dalam persembahan secara live begini, banyak kesilapan boleh berlaku dan tidak dapat dielakkan.

"Apa pun, pihak kami dan pelawak yang ada sudah memberikan yang terbaik," katanya.

Ditanya adakah perubahan yang dibuat selepas persembahan malam pertama, jelas Hans, sudah pasti pelbagai perkara yang dirasakan tidak penting akan dipotong untuk persembahan seterusnya.

"Barisan pelawa cukup bijak mengetahui di mana kesalahan mereka, jadi sudah pasti mereka akan membaiki kesalahan tersebut untuk mencantikkan lagi jalan cerita yang dibawa," katanya memberitahu tiket bagi pementasan itu sudah dijual hampir keseluruhannya.


Smiley :)
:D
:)
:[
;)
:D
:O
(6)
(A)
:'(
:|
:o)
8)
(K)
(M)

No comments:

Post a Comment

Suka tak entri ni? Bagi komen sikit, nanti saya balas.