adsense 728x90


Recent Post

05 February 2013

Keluarga seni Maembong



Mungkin ada yang tidak tahu pelakon, Emma Maembong dan adiknya, Cha Cha Maembong adalah anak kepada pelukis terkenal tanah air, Ismail Embong. Lebih menarik, dua beradik itu bukan saja berbakat sebagai pelakon, tetapi turut mewarisi bakat melukis seperti bapa mereka.
Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Demikian perumpamaan yang sesuai buat keluarga ini kerana selain Emma dan Cha Cha, dua lagi adik-beradik mereka iaitu Yaya dan Shikin yang aktif sebagai pelakon dan pengarah drama turut mewarisi bakat pelukis terkenal itu.
Malah, abang mereka, Bakri, pemain dram yang pernah menyumbangkan tenaganya untuk beberapa kumpulan popular tanah air seperti Flop Poppy, Gerhana Ska Cinta, Meet Uncle Hussein dan Azlan & The Typewriter juga berbakat sebagai pelukis. Turut menyertai mereka ialah seorang lagi adik mereka, Ahmad Bakti.

Karya mereka turut dipamerkan dalam Pameran Warisan Laksamana Tun Tuah oleh Ismail Embong di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kemunculan Emma dan Cha Cha turut menarik perhatian pengunjung di situ yang tidak melepaskan peluang untuk bergambar kenangan.

Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani, 21, ketika ditemui berkata, dia mula melukis sejak berusia tiga tahun dan sering dianggap sebagai pengganti bapanya.

Katanya, sebagai anak dia bangga kerana mewarisi bakat bapanya yang turut diangkat sebagai Tokoh Pelukis Negara yang popular dengan pameran Sulalatus Salatin: Empayar Kesultanan Melayu Melaka di Balai Seni Visual Negara, tahun lalu.

"Namun, saya kemudian membuat keputusan untuk menceburi bidang lakonan. Pada mulanya bapa memang melarang, namun dia merestui apabila melihat kesungguhan saya sebagai pelakon," kata Emma yang mula mencuri perhatian ramai menerusi drama Cinta Itu Milikku.

Emma yang mula berlakon dalam drama Facebook Ustazah Shamsiah dan Kau Yang Terindah, bersyukur kerana peminat mula memberi perhatian terhadap kemunculan keluarga Maembong.

Bagaimanapun, Emma menolak dikatakan mendapat laluan mudah dalam bidang seni kerana paras rupa kerana baginya faktor utama ialah bakat.

"Kecantikan adalah sementara kerana yang penting bakat. Setakat wajah cantik tapi tak pandai berlakon, sukar untuk pengarah tawarkan peluang.

"Sementara rezeki tengah ada, saya akan manfaatkan bakat yang ada dengan sebaik mungkin. Pada masa sama, saya sentiasa berusaha untuk memantapkan lakonan," kata gadis yang memiliki darah kacukan Arab, Cina, Bugis dan Scotland ini.

Emma berkata, dia berharap kehadiran dia bersama adik-beradiknya dalam industri seni tempatan diterima dan mereka tidak bermaksud untuk menggugat pelakon sedia ada kerana niat utama ialah mahu mencari rezeki.

"Hari ini rezeki saya dan mungkin selepas ini rezeki orang lain pula," katanya yang diperkenal­kan kakak­nya, Yaya kepada pengarah, Erma Fatima.

Emma yang baru selesai berlakon drama siri Tiga Nenek Tiga Dara (3N3D) itu sudah diintai berlakon filem tetapi menunggu waktu yang sesuai untuk mengumumkannya kepada peminat.


Mahu bantu adik OKU

Kakak mereka, Yaya atau nama sebenarnya Rabbiati Adawiyyah yang turut menceburi bidang lakonan berkata, dia juga berbakat sebagai pelukis dan sering terbabit sebagai pengarah seni untuk pelbagai produksi.

"Saya tinggal jauh daripada bapa dan minat melukis timbul daripada pemerhatian terhadap karyanya. Bapa tak mendesak saya untuk melukis tapi perasaan rindu kepadanya membuatkan saya mula melukis.

"Saya pernah bekerja dengan bank sebelum menceburi teater. Namun, pendapatan yang tidak seberapa membuatkan saya beralih ke bidang lakonan dan pengacaraan.

"Selepas itu barulah saya terbabit sebagai pengarah seni dalam drama Tahajjud Cinta arahan Erma. Seterusnya saya mengorak langkah setapak lagi apabila jadi penolong pengarah dan arahkan dokumentari," katanya yang lebih selesa bekerja di belakang tabir walaupun turut berlakon.

"Faktor paling penting ialah bakat yang ada pada seseorang itu. Pengarah akan memilih dan menilai bakat seseorang sebelum beri peluang berlakon. Setakat wajah cantik tapi tak pandai berlakon pun tak boleh juga. Erma ambil Emma menerusi sesi uji bakat dan ketika itu dia sudah nampak bakat yang ada pada Emma. Lagipun Emma sebenarnya banyak ikut saya ketika berlakon dan dari situ dia belajar mengenai lakonan," katanya.

Emma yang juga anak kedua daripada 11 beradik berkata, pembabitan dia bersama adik-adiknya dalam bidang seni untuk berdikari serta mahu mencari pendapatan sendiri dan bukannya mengejar glamor.

Selain itu, mereka juga mahu mengumpul wang untuk Ahmad Bakti yang berstatus orang kelainan upaya (OKU) sejak kecil bagi membiayai kos perubatannya.

"Saya ajar Emma dan Cha Cha erti tanggungjawab. Sebagai kakak, saya sentiasa memantau pergerakan mereka dan pasti akan tegur jika mereka ada buat salah," katanya.

Sementara itu, Shikin atau nama sebenarnya Siti Nur Ashikin pula pernah berlakon dalam beberapa drama dan mengacara program berkonsep majalah TV. Malah, dia juga berbangga dikurniakan keluarga yang mempunyai pelbagai bakat.

"Saya juga boleh melukis kerana didedahkan dengan lukisan sejak kecil. Kalau nak tahu, bapa akan meriba kami sambil melukis. Setakat ini saya sudah siapkan lebih 100 lukisan pelbagai konsep.

"Saya menyertai bidang lakonan dan pengacaraan hanya untuk mencuba bakat. Sekarang saya lebih selesa dengan karier sebagai perunding kesihatan dan kecantikan," katanya.

Sebagai anak bongsu, Cha Cha atau nama sebenarnya Siti Aisyah mengakui gembira mempunyai keluarga yang berbakat dalam pelbagai bidang.

"Saya menceburi bidang lakonan terlebih dulu berbanding Emma tapi saya tak cemburu dengan kejayaan yang diraihnya. Saya bangga kerana dia berjaya mencipta nama dalam masa yang singkat. Sebagai adik, saya akan sentiasa menyokong karier pilihan anggota keluarga saya," katanya yang kini dikenali menerusi drama Setia Hujung Nyawa.


Smiley :)
:D
:)
:[
;)
:D
:O
(6)
(A)
:'(
:|
:o)
8)
(K)
(M)

No comments:

Post a Comment

Suka tak entri ni? Bagi komen sikit, nanti saya balas.