adsense 728x90


Recent Post

04 February 2013

Umie Aida curi gas



Semalam, siri pertama Jejak Bintang mengimbas cerita Umie Aida ketika zaman kanak-kanak dan remajanya hingga bergelar aktres disegani tanah air seperti diceritakan ibunya, Asmah Mohd Ali, 65.
Dalam siri kedua Jejak Bintang hari ini, kita singkap pula zaman persekolahan Umie di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri Titiwangsa, Jalan Temerloh, Kuala Lumpur.
Bagaimanakah sikap dan perwatakan Umie ketika di bangku sekolah? Kenapa Umie dan rakannya pernah ditangkap guru disiplin ketika di tingkatan satu Seroja?

Ikuti kisahnya seperti yang diceritakan rakan karibnya, Rosemelia Sulaiman, 40.

"Saya mula berkawan rapat dengan Umie selama tiga tahun iaitu ketika sama-sama menuntut di tingkatan satu hingga tingkatan tiga. Kami dari sekolah rendah yang berbeza dan bertemu ketika di sekolah menengah.

"Kami ditempatkan dalam kelas yang sama dan duduk sebelah menyebelah. Selepas itu, kami terus berkawan rapat selama tiga tahun belajar di situ," katanya.

Rosemelia berkata, dia selesa berkawan dengan Umie kerana dia seorang kawan yang baik, prihatin dan suka membantu orang lain. Umie juga seorang pelajar yang bijak dan sifat kepemimpinannya cukup terserlah ketika mereka menuntut di sekolah menengah.

"Selain bijak dalam akademik, Umie juga seorang yang tegas, berani dan mempunyai sifat kepemimpinan ketika di sekolah. Umie juga banyak pegang jawatan di sekolah iaitu Penolong Ketua Kelas 1 Seroja dan seterusnya ketua kelas apabila masuk tingkatan dua dan tiga.

"Pelajar kelas kami pula ramai yang keturunan Cina kerana kelas peralihan dan mereka memang takut dengan Umie yang garang dengan mereka yang nakal dalam kelas," katanya.

Katanya, jika nak diikutkan, terlalu banyak kena­ngan manis yang dikongsi Rosemelia dengan Umie sepanjang menuntut di sekolah menengah dulu.

"Sebagai remaja, kami selalu meluangkan masa bersama lepas habis sekolah setiap Jumaat dan tempat lepak popular ialah di Perpustakaan Negara yang ketika itu di Jalan Raja Laut.

"Selain itu, rumah Umie di Setapak Garden juga selalu menjadi tempat lepak 'wajib' bila habis sekolah untuk menikmati lauk kegemaran kami berdua iaitu sambal tumis ikan bilis yang dimasak pembantu rumahnya.

"Maklumlah, saya tinggal di Sentul dan rumah Umie sering menjadi tempat lepak kami. Boleh dikatakan kami sangat rapat hingga makan pun sepinggan dan tidur sebantal ketika itu," katanya.

Rosemelia berkata, mereka juga berkongsi minat sama dengan menyertai pasukan hoki sekolah.

"Kami berdua memang suka glamor, sebab itu kami masuk pasukan hoki sekolah kerana boleh pakai 'skirt' pendek. Saya juga tidak nafikan, Umie juga popular di sekolah dan pernah ada guru lelaki yang menaruh hati padanya," katanya.


Didenda gara-gara warnakan rambut

Berkongsi kenangan yang sukar dilupakan pula, kata Rosemelia, mereka pernah didenda guru disiplin kerana berani mewarnakan rambut warna perang di sekolah.

"Saya masih ingat, kami memang nakal dan berani kerana mewarnakan rambut perang dengan mencuri gas hidrogen dalam kelas makmal sains. Apa lagi, kami terus dipanggil guru disiplin ke dalam biliknya diminta menghitamkan semula rambut dengan segera. Apa yang lucu, kami terus hitamkan semula rambut dengan menggunakan celak India saja!

"Antara kenangan lain yang masih segar di ingatan ialah ketika kami didenda dengan menghantuk kepala sama sendiri kerana bercakap ketika cikgu mengajar dalam kelas Perdagangan ketika itu," katanya.

Ditanya bila Umie menunjukkan minatnya dalam bidang seni, Rosemelia berkata, dia sudah nampak bakat Umie dalam bidang nyanyian kerana sering memasuki pelbagai pertandingan nyanyian peringkat sekolah.

"Dia memang minat menyanyi sejak di tingkatan satu. Masa di tingkatan empat, dia sudah terbabit sebagai model dan wajahnya juga sudah keluar majalah hiburan. Saya juga tahu kakaknya, Erma Fatima terbabit dalam bidang lakonan dan saya turut tumpang glamor sebab berkawan dengan adik artis," katanya.

Rosemelia berkata, selepas peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) (sekarang Penilaian Menengah Rendah - PMR), mereka terpaksa berpisah kerana dia memohon ke Sekolah Vokasional untuk mengikuti kursus kecantikan.

"Umie masih meneruskan persekolahannya di SMK Puteri Titiwangsa hingga tamat tingkatan lima. Selepas saya berpindah ke sekolah vokasional, Umie juga sudah mula berkawan dengan Erra Fazira. Namun, kami tetap berjumpa bila musim cuti sekolah untuk melepaskan rindu," katanya.

Selepas sekian lama terpisah, mereka bertemu semula apabila Umie terbabit dalam drama Pengantin Popular ketika berusia 18 tahun.

"Saya juga sudah berkahwin dan memiliki keluarga sendiri. Secara kebetulan, suami saya terbabit dengan produksi Erma dan di situlah kami bertemu semula dan mengimbas kenangan ketika zaman persekolahan dulu.

"Apapun, sebagai kawan baiknya ketika zaman sekolah, saya tetap ikuti perkembangan Umie di akhbar mahupun majalah termasuk menonton drama dan filem lakonannya. Terus terang, kenangan kami ketika zaman persekolahan dulu tetap terpahat dalam ingatan," katanya menutup perbualan.


Smiley :)
:D
:)
:[
;)
:D
:O
(6)
(A)
:'(
:|
:o)
8)
(K)
(M)

No comments:

Post a Comment

Suka tak entri ni? Bagi komen sikit, nanti saya balas.