adsense 728x90


Recent Post

10 April 2013

Bekas isteri Jimmy Shanley dapat hak penjagaan anak



SHAH ALAM 8 April - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini memutuskan hak penjagaan anak perempuan pengacara, Jimmy Shanley diserahkan sepenuhnya kepada bekas isterinya.
Hakim Syarie, Mawardi Che Man turut memerintahkan Jimmy diberi hak lawatan dan bermalam selama tiga hari setiap minggu bersama Zahrah Rania yang kini berusia setahun sembilan bulan.
Mahkamah memutuskan demikian setelah mendapati Jimmy selaku defendan gagal membuktikan isu masalah akhlak bekas isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy, 27, walaupun telah mengemukakan dokumen termasuk dua salinan video.

‘‘Berhubung isu Nursuhaila yang suka berhibur dan meminum arak, mahkamah berpendapat pihak defendan langsung tidak mengemukakan bukti manakala isu dia merokok dan berjudi walaupun ada rakaman cakera padat video (VCD) tetapi tidak ada bukti sokongan termasuk keterangan saksi,’’ katanya.
Dalam pada itu, mahkamah membenarkan Jimmy mengambil anaknya bermula Selasa sehingga Khamis selain kedua-dua pihak diberi hak bergilir-gilir untuk bersama anak mereka pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.
Bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Jimmy diberi hak bersama anaknya selama tiga hari bermula hari terakhir Ramadan sehingga hari raya kedua.
Mahkamah juga memerintahkan kedua-dua pihak atau pihak ketiga tidak menghalang atau menceroboh pihak terbabit semasa Zahrah Rania berada dalam jagaan pihak berkenaan.
Jimmy dan Nursuhaila serta wakil masing-masing juga diarahkan berbincang mengenai lokasi pengambilan anak mereka dan memaklumkan sesama mereka terlebih dahulu jika ingin berbuat demikian.
Dalam pada itu, Mawardi mengingatkan kedua-dua pihak supaya menjaga kemaslahatan anak mereka dan menunaikan tanggungjawab sebagai ibu bapa.

Jimmy atau nama penuhnya Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 33, diwakili peguam syarie, Mohd. Noor Aizan Md. Idrus manakala Nursuhaila selaku plaintif diwakili peguam syarie, Saadiah Din.
Nursuhaila tidak hadir ke mahkamah hari ini dan dimaklumkan oleh peguamnya, dia kini berada di luar negara.
Sementara itu, Jimmy ketika ditemui wartawan di luar mahkamah memberitahu, dia bersyukur dan gembira dengan keputusan tersebut walaupun tidak mendapat hak penjagaan penuh.
‘‘Mahkamah membuat keputusan yang adil kerana pada awalnya saya fikir tidak lagi dapat bersama anak namun saya berharap lepas ini tidak ada campur tangan pihak ketiga,’’ katanya.
Bekas pengacara Trek Selebriti dan Akademi Fantasia (AF) 8 itu berkata, akan menjaga sendiri anaknya malah tidak sabar untuk meluangkan masa yang berkualiti dan menyambut Aidilfitri bersama Zahrah Rania.
Kepada bekas isterinya, dia memohon maaf dan mendoakan yang terbaik untuknya serta berharap Nursuhaila bertemu jodoh dengan lelaki yang lebih memahami.
Mengenai jodohnya pula, Jimmy berkata, dia kini sedang mencari calon dan akan bernikah secepat mungkin jika telah menemui wanita idamannya.

Jimmy dan Nursuhaila bercerai talak satu secara khuluk (tebus talak) berjumlah RM1 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya pada 10 Oktober tahun lalu.


Smiley :)
:D
:)
:[
;)
:D
:O
(6)
(A)
:'(
:|
:o)
8)
(K)
(M)

No comments:

Post a Comment

Suka tak entri ni? Bagi komen sikit, nanti saya balas.