adsense 728x90


Recent Post

28 April 2013

Belasungkawa: Reda pemergian Azizah



A Rahman sayu kenang hasrat isteri rakam lagu tidak kesampaian

Tanggal 26 April kira-kira jam 11.26 malam, penyanyi irama Pop Yeh Yeh, Datin Azizah Mohamad menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kanser pangkal rahim tahap akhir yang dihidapinya sejak setahun lalu, selain penyakit darah tinggi dan kencing manis.
Allahyarhamah meninggal dunia di sisi suaminya, penyanyi veteran, Datuk A Rahman Hassan dan ahli keluarga lain.
Belasungkawa: Reda pemergian Azizah

Pastinya pemergian itu meninggalkan kesan mendalam buat penyanyi yang cukup terkenal menerusi lagu Tak Mengapa ini.

Namun begitu, walau pasrah dan reda dengan pemergian Azizah, Rahman tidak akan melupakan setiap detik mahligai yang dibina selama 44 tahun bersama insan yang dicintainya.

Bekas Presiden Persatuan Penyanyi Penyanyi Tanah Air (PAPITA) ini juga bulatkan hati merestui perpisahan buat selama-lamanya itu.

Biar sukar untuk melepaskan insan yang sekian lama bertakhta di hati, kepayahan itu tetap ditelan demi meneruskan kelangsungan hidup. Mengakui takdir sudah memisahkan mereka, tetapi masih ada sisa hasrat yang berbaki sukar untuk dilupakannya. Masakan tidak, hajat isterinya untuk merakamkan lagu mengikut cita rasanya tidak terlaksana.
Mengenang kembali hasrat terpendam itu, hatinya menjadi sayu sehingga menitiskan air mata.

"Sudah lama dia menyuarakan hasrat itu pada saya, sehingga kini saya tak boleh lupa. Dia nak sangat rakam lagu mengikut seleranya. Apapun, saya bersyukur dengan pemergiannya sebab dia tidak perlu lama menderita akibat penyakit yang ditanggung.

"Malah, hasratnya untuk melihat anak bongsunya kahwin juga tidak kesampaian," katanya.

Hormat suami, jaga keluarga

Mengimbau kembali detik bersama, Rahman menyifatkan isterinya seorang yang baik dan amat menghormatinya sebagai suami dan ketua, serta menjaga keluarga dengan sebaik-baiknya.

Kasih-sayang pasangan ini jelas kelihatan apabila sering dilihat bersama di mana--mana acara. Kini, semuanya hanya tinggal kenangan. Bahkan, hasratnya untuk membawa isteri bercuti selepas pulih daripada sakit, hanya tinggal harapan.

"Saya kasihan tengok dia bekerja keras menguruskan keluarga dan kerjaya. Jadi, saya berhasrat nak bawa dia keluar berehat, tetapi tidak kesampaian.

"Dia sangat amanah dan menjaga harta benda saya. Pemergiannya memang kehilangan besar pada saya, setelah lama bersama," katanya.

Hilang separuh jiwa

Bagaikan kehilangan separuh dirinya, Rahman akan cuba mengharungi kehidupan tanpa insan yang dikenalinya sejak menganggotai kumpulan pop yeh yeh pada era 60an, Orkes Nirwana.

Baginya, Azizah tiada galang ganti kerana perwatakannya yang disenangi semua orang - baik hati, peramah, penyayang dan mudah mengukir senyuman.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Ansar, Taman Keramat, selepas solat Zohor, kelmarin.

Ketika hayatnya masih ada, Azizah seorang artis yang cukup aktif berpersatuan dan melakukan kerja amal. Selain menyanyi, dia juga mengetuai Kumpulan Kawan (Kumpulan Artis Wanita), sebuah kumpulan marhaban yang disertai beberapa artis veteran lain. Allahyarhamah juga pernah merakamkan tiga EP solo dan popular menerusi lagu Syurga Idaman, Pergilah Kandaku dan Dikaulah Harapanku.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatihah.


Smiley :)
:D
:)
:[
;)
:D
:O
(6)
(A)
:'(
:|
:o)
8)
(K)
(M)

No comments:

Post a Comment

Suka tak entri ni? Bagi komen sikit, nanti saya balas.