adsense 728x90


Recent Post

15 April 2013

Filem kedua Upin Ipin Tahun Depan



Filem animasi kedua Ipin dan Ipin, terbitan Les’ Copaque Production Sdn Bhd, kini dalam proses pembikinan dan dijangka menemui peminat di pawagam seluruh negara, tahun depan.

Menurut Pegawai Perhubungan Awamnya, Mohd Zarin Abdul Karim, sudah tiba masanya syarikat itu menghasilkan filem susulan kepada Geng Pengembaraan Bermula yang mendapat sambutan begitu hangat apabila ia ditayangkan di negara ini pada Februari 2009.
“Kami rasanya, Upin dan Ipin sudah begitu lama menyepi di layar lebar, jadi inilah masanya untuk mereka kembali menghiburkan peminat di pawagam. Jika filem pertama dulu mendapat sokongan begitu memberangsangkan, diharapkan judul kedua nanti menerima sokongan serupa.


“Selain filem, kami juga akan wujudkan Taman Tema Upin dan Ipin di Sepang, yang dijangka siap pada 2015. Ia taman tema berkonsep seperti Disneyland, yang sesuai untuk hiburan seisi keluarga,” katanya ketika ditemui di Balai Berita, Bangsar, baru-baru ini.

Dia hadir menemani dua karakter itu, bersama-sama bakat cilik, Asyiela Putri, 13, yang meminjamkan suara untuk watak terkenal berkenaan, bagi menjayakan sesi fotografi pemenang kategori online Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012. Upin dan Ipin ialah pemenang bagi kategori Watak Animasi Tempatan Popular.

Ditonton di 16 negara

Melihat perkembangan Upin dan Ipin, siri kartun ini bukan saja ditujukan khas untuk kanak-kanak, malah khusus buat seisi keluarga kerana ia banyak dikaitkan dengan imbasan zaman kanak-kanak golongan dewasa hari ini.
Malah lebih menarik apabila penontonnya juga terdiri daripada pelbagai kaum. Mana tidaknya, menerusi saluran Disney, siri kartun ini boleh ditonton di 16 negara dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin.

“Kami rasa sangat gembira sebab sudah tujuh tahun, Upin dan Ipin masih ada peminat setia. Sebelum memenangi anugerah kategori online ABPBH 2012, mereka juga diiktiraf sebagai animasi paling berjaya dalam Malaysia Book Of Records.

“Malah, beberapa minggu lalu, Upin dan Ipin dilantik oleh UNICEF Malaysia sebagai duta rasmi, dan pada masa sama kami membantu tabung kanak-kanak kurang bernasib baik di sekitar dunia. Pelantikan kami diluluskan oleh UNICEF New York. Ia antara petanda Upin dan Ipin turut diterima di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Lebar sayap ke Filipina

Selepas tujuh tahun bertapak di dalam dunia animasi, siri kartun ini juga ingin melebarkan sayapnya ke negara jiran, Filipina, berikutan jenama terbabit turut menjadi pilihan ramai di sana.

“Melihat peminat dan pengikut di laman sosial Facebook, kami sudah mencapai 6.6 juta orang dan jumlah ini bukan hanya datangnya dari Malaysia, sebaliknya Indonesia dan Filipina antara dua negara yang mempunyai paling ramai peminat Upin dan Ipin,” katanya.

Selain mengorak langkah di negara luar, Les’ Copaque juga dalam usaha meluaskan pembukaan restoran makanan segera Melayu di sekitar negara. Setakat ini mereka sudah mempunyai tujuh cawangan dan menjelang 2014, mereka menyasarkan untuk memiliki 12 restoran semuanya.


Smiley :)
:D
:)
:[
;)
:D
:O
(6)
(A)
:'(
:|
:o)
8)
(K)
(M)

No comments:

Post a Comment

Suka tak entri ni? Bagi komen sikit, nanti saya balas.