adsense 728x90


Recent Post

29 April 2013

Shila Amzah sedih, kenapa?



Dua minggu mengambil cuti untuk kembali ke tanah air tampak seakan tempoh yang panjang. Hakikatnya, kepulangan Shila Amzah, 23, sejak minggu lalu bukan agenda merehatkan diri, sebaliknya menyudahkan tugasan ditinggalkan selepas setengah bulan berada di Shanghai, China.
Namun dalam ligat menjalani rakaman album Melayu yang diterbitkan sendiri, selain memenuhi undangan hingga ke Kemaman, Terengganu, penyanyi itu sempat mencuri waktu mengadakan majlis pertemuan dengan sekumpulan peminatnya, malam kelmarin.

Siapa yang tidak rasa terkilan. Menerusi medium sosial, saya dapat melihat Shilalas bersemangat membawa kain rentang pada malam itu walaupun mereka tahu saya tiada di situ” Shila Amzah, Penyanyi
Shila sedih
“Sebenarnya kepulangan saya memang untuk menyiapkan rakaman album yang masih berbaki dua lagu. Tetapi, enggan mengecewakan permintaan peminat, saya penuhi juga jemputan ke Terengganu, manakala pagi kelmarin, ketika mengemas rumah ,saya terfikir mahu membuat kejutan kepada peminat terutama Shilalas.

“Di Twitter, saya umum mahu mengumpulkan 30 peminat. Walaupun dilakukan saat akhir, malam itu kami dapat berkumpul beramai-ramai. Dapatlah berkongsi cerita selain berkaraoke,” katanya yang baru dinobatkan gelaran Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012.

Berterima kasih kepada semua penyokong tegarnya, Shila yang tidak dapat hadir ke malam kemuncak ABPBH pada 7 April lalu berkata, sepatutnya dia mahu datang ke majlis penyerahan hadiah bertepatan tarikh kepulangannya, tetapi sukar mendapat penerbangan awal.

“Siapa yang tidak rasa terkilan. Menerusi medium sosial saya dapat melihat Shilalas bersemangat membawa kain rentang pada malam itu walaupun mereka tahu saya tiada di situ. Malah, pada 23 April lalu saya jangkakan dapat sampai ke Kuala Lumpur sebelum majlis, namun sayangnya hanya tiket penerbangan petang yang masih tinggal,” kongsinya.
Mengundi kali pertama

Selain kerjaya, katanya, kepulangan kali ini juga sangat diharapkan bagi membolehkannya mengundi buat kali pertama, selepas mendaftar sebagai pemilih tahun lalu.

“Sebagai belia dan duta 1M4U, saya tentu saja menyokong Barisan Nasional (BN) kerana yakin terhadap kemakmuran yang dikecapi sepanjang pentadbiran selain memberi kebebasan berkarya dan bersuara.

“Semua ini bukan disebabkan orang tua saya cenderung kepada BN, sebaliknya saya buat kajian sendiri. Apabila berada di negara orang, barulah saya sedar betapa bertuahnya saya menjadi rakyat Malaysia,” katanya yang bakal melaksanakan tanggungjawab mengundi di Cheras.

Kongsi pentas dengan Julio Iglesias

Tidak mampu menyembunyikan rasa teruja berpeluang berkongsi pentas dengan penyanyi tersohor, Julio Iglesias, katanya pada usia 70 tahun penghibur itu masih mempunyai aura tersendiri.

“Kami berlatih berasingan untuk siri konsertnya di Shanghai, Shenzen dan Beijing, malah hanya sempat berlatih dua kali sebelum konsert bermula. Dia seorang yang budiman dan mesra walaupun punya nama besar.

“Kami banyak berbual dan dia yakin saya mampu pergi lebih jauh. Peluang berduet dengannya juga penghormatan besar buat saya. Kami berduet untuk lagu All For You dan When You Tell Me That You Love Me,” katanya.

Bakal terbang semula ke Shanghai selepas 8 Mei ini, tambah Shila, tinggal di sana membuatkan dia lebih menjaga pemakanan sekali gus memastikan stamina pada tahap tertinggi, selain menjalani rutin senaman setiap hari.


Smiley :)
:D
:)
:[
;)
:D
:O
(6)
(A)
:'(
:|
:o)
8)
(K)
(M)

No comments:

Post a Comment

Suka tak entri ni? Bagi komen sikit, nanti saya balas.