adsense 728x90


Recent Post

16 April 2013

Masih tunangan Firos



Sudah lama dia menanti saat indah bergelar isteri dan melangkah ke gerbang perkahwinan diimpikan selama ini. Apatah lagi, usia Misha Omar yang popular dengan lagu Bunga-Bunga Cinta dan Cinta Adam & Hawa ini sudah mencecah 31 tahun dan sudah selayaknya membina keluarga.
Namun, kata pemilik nama sebenar, Samihah Omar ini, dia juga inginkan persiapan untuk majlis perkahwinannya itu dirancang dengan teliti dan sempurna kerana ia detik paling bersejarah dalam hidupnya.
“Saya tidak mahu majlis perkahwinan kami dibuat secara tergesa-gesa kerana soal kahwin ini perkara besar dan perlu dirancang dengan teliti. Lebih indah lagi, saya bakal disatukan dengan lelaki yang dicintai dan benar-benar ingin memperisterikan saya.

“Jika boleh, saya ingin mengambil cuti satu atau dua bulan untuk membuat segala persiapan hari bersejarah itu nanti. Justeru, saya mahu berehat seketika daripada aktiviti seni dan ‘memanjakan diri’ supaya detik bersejarah itu dapat dilalui dengan sempurna,” katanya.

Misha mengikat tali pertunangan dengan juruterbang Penerbangan Malaysia (MAS), Firos Ezzwan Rossly, 31, pada 20 Februari tahun lalu. Mengikut perancangan pasangan sepadan ini sepatutnya diijabkabulkan pada September tahun lalu.

Namun, kerana kesibukan masing-masing dalam karier yang menuntut komitmen tinggi mengakibatkan majlis perkahwinan itu terpaksa ditunda pada tahun depan.

“Bukannya kami kahwin senyap-senyap, sebaliknya ia terpaksa ditangguhkan sebelum ini kerana Firos sibuk dengan peperiksaan mendapat lesen juruterbang kanan untuk mengendalikan pesawat Airbus A330. Pada tahun ini pula, jadual kami berdua masih tidak mengizinkan lagi.

“Malah, agenda seni saya sangat padat sehingga Ogos tahun ini. Selain undangan persembahan, saya juga sibuk dengan rakaman album keempat dan pementasan teater Nyonya & The Gang pada Jun ini. Justeru, saya dan Firos sangat berharap kami dapat disatukan pada pertengahan tahun depan. Semoga peminat sama-sama mendoakan perkara yang baik ini,” katanya.

Diminta mengulas gosip yang mendakwa dia menunda majlis perkahwinannya kerana tidak mendapat surat cerai kononnya daripada bekas suami yang juga usahawan automotif, Misha menafikan cerita itu dan mendakwa ia tidak berasas sama sekali.

“Cerita itu tidak benar. Saya masih tunangan Firos dan tidak pernah berkahwin sebelum ini. Sampai sekarang pun saya masih belum pergi kursus kahwin lagi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Misha yang memiliki seorang anak angkat, Muhammad Adam Emir, 7, berkata, dia masih sibuk memenuhi undangan persembahan untuk majlis makan makam terutamanya membabitkan syarikat korporat.

“Saya menyara hidup dengan nyanyian. Kalau tidak buat persembahan, siapa pula yang nak bayar semua bil saya nanti?” katanya.

Sementara itu, walaupun single terbarunya Angin Syurga ciptaan Datuk M Nasir dan liriknya oleh Buddi Hikayat ditarik balik pencalonannya dari Muzik-Muzik 28, Misha yang sudah sedekad berkecimpung dalam bidang seni tetap bersyukur kerana ia mendapat komen positif daripada peminat sejak diputarkan di stesen radio tempatan, Januari lalu.

“Apapun yang berlaku, saya harap peminat terus beri sokongan padu pada saya,” katanya.

Single Angin Syurga turut dimuatkan dalam bingkisan album penuh keempatnya yang berkonsep pop dan memuatkan tujuh lagi lagu itu. Komposer lain yang terbabit dalam album penuh ini ialah Tam Spider dan anak M Nasir (Ilham). Selain projek teater, Misha turut berlakon dalam drama bersiri 13 episod, Nur Kasih Di Jabbal Rahmah arahan Erma Fatima.


Gementar beraksi di Istana Budaya

Bidang lakonan adalah salah satu cabang seni yang diminatinya sejak dulu. Malah, Misha juga mahu mengukuhkan lagi namanya di pentas lakonan. Justeru, sesibuk manapun dengan aktiviti nyanyian, Misha tetap mencuri masa untuk berlakon mahupun beraksi di pentas teater.

Terbaru, dia bakal beraksi dalam pementasan teater Nyonya & The Gang terbitan CTRA Production yang turut menggandingkannya dengan dua lagi rakan seperjuangan iaitu Fara Fauzana dan Amy Mastura.

Nyonya adalah karya Wisran Hadi diarahkan Dekan Fakulti Teater ASWARA, Rosminah Mohd Tahir dan The Gang pula karya baru yang ditulis dan diarahkan Siti Rohayah Attan. Dalam teater terbitan CTRA Production ini, Misha diberi kepercayaan sekali lagi memegang watak Keponakan C bergandingan dengan Fara (Keponakan B) dan Amy (Keponakan A).

Pementasan ini turut diterajui pelakon teater tidak asing lagi, Mardiana Alwi (watak Nyonya) dan Taiyuddin Bakar (Tuan). Tidak ketinggalan, penampilan pelakon jelita Rozita Che Wan (watak isteri).

Bercerita lanjut wataknya dalam teater itu, kata Misha, dia akui berasa gementar untuk beraksi kali ini kerana pentasnya yang lebih besar berbanding ketika di MATIC dulu.

“Saya harap sesi latihan intensif selama sebulan dapat membantu kami menjiwai watak masing-masing, sekali gus mencari keserasian antara satu sama lain.

Maklumlah, pentas Panggung Sari, IB ini besar sedangkan pelakon teater ini hanya ada enam orang saja,” katanya.

Sebelum ini, Misha pernah membawa watak keponakan C dalam pementasan Nyonya kali kelima yang digabungkan dengan kisah Mak Dara yang dipentaskan pada 6 hingga 12 Julai 2011 di MATIC.

Soal watak pula, kata Misha, dia tidak mahu berasa terlalu selesa kerana diberi kepercayaan memegang watak sama iaitu Keponakan C dalam pementasan kali ini.

“Walaupun saya bawa watak sama iaitu Keponakan C, ia bukan bermaksud ia terlalu mudah buat saya. Saya perlu cari elemen baru untuk beri ‘energy’ pada watak ini.

“Selain itu, saya terima tawaran buat teater ini kerana sudah selesa bekerja dengan produksi CTRA Production dan Rosminah Tahir. Apatah lagi, saya bakal bergandingan dengan teman rapat yang juga rakan seperjuangan dalam bidang seni iaitu Fara dan Amy dalam pementasan kali ini,” katanya.

Teater Nyonya & The Gang bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur bermula 14 hingga 20 Jun depan. Tiket berharga RM35, RM55, RM85 dan RM155 boleh ditempah menerusi ejen tiket www.AirAsiaRedTix.com atau hubungi 017-8716060 dan 012-2977220 untuk keterangan lanjut.


Smiley :)
:D
:)
:[
;)
:D
:O
(6)
(A)
:'(
:|
:o)
8)
(K)
(M)

No comments:

Post a Comment

Suka tak entri ni? Bagi komen sikit, nanti saya balas.