Kuala Lumpur: Pengarah bersama filem bergenre romantik, Mencari Cinta, Riezman Khuzaimi, menafikan wujudnya babak ranjang keterlaluan dalam filem berkenaan.

Beliau berkata, sebagai orang lama dalam industri hiburan, pihaknya sedar mengenai garis panduan yang ditetapkan Lembaga Penapisan Filem (LPF), terutama apabila membabitkan babak ranjang.
Saya sendiri risau apabila ramai yang menyangka filem Mencari Cinta mempunyai babak panas keterlaluan. Tak mahulah nanti orang ingat kami sengaja mencari publisiti murahan dengan isu ini.


Pada saya, babak yang dimaksudkan itu tidaklah sepanas mana. Ia hanya gambaran sepasang suami isteri yang sudah mendirikan rumah tangga, tetapi hanya dapat bersama tiga bulan kemudian.

Lagipun babak itu kami buat secara simbolik, sama seperti apa yang pernah disiarkan di TV.

Kami pun tidak mahu mengambil risiko menonjolkan babak keterlaluan dalam filem ini, katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, mungkin laporan media sebelum ini membuatkan cerita mengenai babak ranjang itu menjadi bualan peminat filem tanah air.
Tak terlepas tapisan LPF

Bagaimanapun, Riezman tidak menafikan filem yang diklasifikasikan sebagai 13PG ini tidak terlepas daripada tapisan LPF.

Suntingan itu hanya membabitkan lima babak dan ia langsung tidak mencacatkan jalan cerita, katanya.

Filem membabitkan perbelanjaan RM1.5 juta terbitan Armnett Sdn Bhd dan Red Movies Sdn Bhd itu menampilkan lakonan Rusdi Ramli, Nora Danish, Fouziah Gous, Mahmod Ali Basha, Norlida Ahmad, Daphne Iking dan Natasha Hudson.

Mencari Cinta bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 25 April ini.