adsense 728x90


Recent Post

13 April 2013

Pengganti Abang-abang Senario di cari



Hampir dua dekad mencipta nama sebagai pelawak popular, sampai masanya Senario mencari pelapis yang akan meneruskan legasi mereka.
Hasrat itu akan mereka realisasikan menerusi program realiti terbaru terbitan TV3, Bintang Mencari Bintang (BMB) yang bertujuan mencari pelawak pelapis untuk mewarnai dunia hiburan.
Kali pertama diperkenalkan tahun ini, Senario yang dibarisi Azlee Jaafar, Wahid Mohd dan Mazlan Ahmad atau Lan Pet Pet dipertanggungjawabkan mendidik dua kumpulan iaitu Tocai yang dianggotai Mohamad Tarmizi Mustafa, 24, dan Mohd Faizal Mat Saad, 24 serta Gegau (Mohd Saffuan Samsudin, 26, dan Faizal Ibrahim, 24) dan meletakkan sepenuh harapan kepada pelapis muda ini.

Selain Senario, turut menjayakan BMB ialah Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik, Faizal Ismail, Sabri Yunus dan Raja Azura.

Disiarkan secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam setiap Ahad, jam 9 malam, hari ini menyaksikan kumpulan A iaitu Bowl (Afdlin), Achey (Harun), Tocai (Senario), Tapaw (Faizal), Big Too (Sabri) dan Kelawak (Raja Azura) bergabung bersama sifu masing-masing membuat persembahan untuk berentap dalam pusingan kedua.

Pada konsert pusingan pertama kumpulan A minggu lalu, Achey mempamerkan persembahan bertenaga seterusnya memikat juri profesional, undian SMS dan juri awam dengan mendahului markah keseluruhan tertinggi 75 markah.

Mampukah Achey mengekalkan momentum persembahannya yang kini mendahului pesaing lain? Apakah kejutan dan strategi disediakan sifu masing-masing untuk meraih markah dan sokongan juri serta penonton?

SELEBRITI berpeluang merakam aksi Senario dan anak didiknya beriadah bersama di Wet World Shah Alam, baru-baru ini, untuk melepaskan tekanan selepas latihan gigih untuk persediaan beraksi di pentas.

Kemesraan dan sikap sporting mereka menggamatkan suasana. Pelbagai aksi sempat dirakam sepanjang berada di taman tema air itu. Malah, ada antaranya menggeletek hati.

Anggota Tocai dan Gegau mengakui hilang segala tekanan apabila dapat berendam dan mencuba permainan di taman tema. Tentunya Azlee, Wahid dan Mazlan tumpang sekaki.

Kata Wahid, sebelum ini dia hanya temankan anak bermain di taman tema tetapi hari itu dia pula yang jadi macam kanak-kanak.

Bagi Azlee, antara sebab utama mereka memilih Tocai dan Gegau sebagai anak didik selain faktor bakat adalah kerana empat anak muda itu tidak pernah menyertai mana-mana pertandingan realiti.

Katanya, perkara ini membuatkan mereka lebih mudah dibentuk dan mendengar kata. Mereka juga disifatkan ada semangat mahu belajar yang sangat tinggi dan patuh arahan.

“Baik Tocai mahupun Gegau, masing-masing kaya idea dan cerita. Mereka selalu tampil dengan bahan di luar jangkaan. Sebagai sifu, kami hanya pantau dan olah jalan cerita supaya mereka tampil dengan persembahan terbaik.

“Segala ilmu diraih dari awal kemunculan hingga sekarang kami curahkan dengan harapan mereka dapat sama-sama memeriahkan dunia hiburan tempatan, khususnya di pentas lawak.

“Soal menang kalah adalah adat pertandingan. Persaingan dalam pertandingan ini sangat sengit dan kita dapat lihat prestasi peserta meningkat dari semasa ke semasa.

“Andai anak didik kami menang, itu bonus, namun jika sebaliknya, biar mereka keluar dengan bermaruah,” kata Azlee yang berharap ramai mendoakan kejayaan Tocai dan Gegau.

Mengenai kritikan penonton BMB mengatakan Tocai dan Gegau klon Senario, Azlee menegaskan tidak ada salahnya jika ada persamaan antara mereka.

“Klon? Alah, sudah namanya mentee, sedikit sebanyak pasti ikut cara mentor. Lagipun memang kami mahu mencari pelapis Senario. Kami pun bukan menongkat langit, sampai masanya tempat kami perlu diisi orang baru.

“Pengganti itu mungkin Gegau, Tocai atau peserta BMB lain. Mereka yang akan teruskan perjuangan Senario. Anak didik kami ada karakter dan daya tarikan tersendiri.

“Jujur, ada sesuatu dalam diri mereka yang tidak ada pada kami. Jika diberi peluang bernafas dalam industri ini, mereka ada masa depan cerah,” katanya.

Sementara itu, Faizal mewakili rakannya menzahirkan rasa syukur menjadi pilihan Senario berentap di pentas BMB. Bagaikan mimpi dapat berguru dengan kumpulan popular itu dan peluang itu sungguh berharga buat mereka.

“Kami membesar dengan lawak Senario. Bagi kami, mereka adalah ‘legend’. Sebagai peminat, tentu kami gembira dan akan belajar sebanyak mungkin daripada abang Azlee, Wahid dan Lan Pet Pet.

“Kami menyertai BMB bukan untuk kejar populariti, tetapi mahu ketengahkan bakat. Kami mahu lihat sejauh mana bakat dianugerah Allah SWT ini diterima orang ramai.

“BMB bukan sekadar pentas sketsa jenaka tetapi turut mencungkil kebolehan dalam bidang nyanyian, di mana ia akan melahirkan bakat serba boleh. Dunia jenaka sekarang pun makin berkembang dan dipandang tinggi.

“Jenaka yang dipersembahkan bukan kosong, sebaliknya ada isi dan sofistikated. Kami ingin berada dalam kelompok hebat ini satu hari nanti,” katanya optimis.

BMB dibahagikan kepada Kumpulan A iaitu Bowl, Achey, Tocai, Tapaw, Big Too dan Kelawak, manakala kumpulan B ialah Bocik, Xoxo, Gegau, Ajo, Titan serta Awok.

Setiap peserta akan bersaing selama empat minggu dalam pusingan pertama mengikut kumpulan masing-masing. Tiga anak didik yang mendapat markah terendah dari setiap kumpulan akan disingkir manakala enam yang berjaya layak ke pusingan seterusnya, di mana juara akan membawa pulang hadiah utama bernilai RM200,000.

Format pemarkahan dibahagikan kepada tiga bahagian, di mana 50 peratus daripada juri profesional, 30 peratus undian SMS dan 20 peratus juri awam iaitu pelajar seni persembahan, wartawan, golongan semi profesional dalam industri sketsa komedi dan nyanyian.

Sepanjang 15 episod bersiaran, BMB menampilkan Adibah Noor sebagai pengacara. Selain itu BMB menampilkan nama besar dalam industri, Fauziah Datuk Ahmad Daud dan AR Badul sebagai juri tetap. Lebih menarik, setiap minggu dua juri undangan akan menilai aspek nyanyian peserta.

Penonton berpeluang mengenali peserta dengan lebih dekat menerusi Komik BMK yang ke udara selama 30 minit setiap Ahad, jam 5 petang.

Program dihoskan pelakon Taiyuddin Bakar ini akan memaparkan gelagat peserta serta perkara yang berlaku ketika melakukan persiapan dan menghadiri kelas latihan.

Begitu juga perkembangan peserta menerusi program berdurasi dua minit, Blog BMB setiap Isnin hingga Jumaat, jam 10 dan 1.30 pagi bermula 1 April lalu.


INFO:

  • Senario mula ditubuhkan pada 1996 dari program Sinaran Pasport Kegemilangan pada 1995 yang menjulang Shamsul Ghau Ghau sebagai juara dan Mazlan Pet Pet (naib juara).

  • Anggota asal Senario ialah Wahid, Mazlan, Azlee, Shamsul, Farouk Hussein, Ilya dan Hamdan.

  • Nama Senario diambil dari idea Farouk yang menggelarkan mereka kumpulan ‘senang riuh’ dan akhirnya menjadi Senario.

  • Apabila Shamsul dan Farouk keluar, mereka tinggal berlima, kemudian Ilya dan Hamdan pula keluar. Kekosongan Senario diisi Saiful Apek dan Yassin dan kini tinggal Azlee, Wahid dan Mazlan meneruskan perjuangan Senario.

  • Mempunyai program sendiri, Senario pada Jun 1996 dan mendapat sambutan hingga mereka diambil sebagai kakitangan TV3. Pada 1999, Senario berbangga dengan filem Senario The Movie arahan Aziz M Osman.

  • Filem: Senario Lagi (2000), Lagi-Lagi Senario (2001), Lang Buana (2003), Senario XX (2005), Senario Pemburu Emas Yamashita (2006), Senario The Movie : Episod 1 (2008), Senario The Movie : Episod 2 - Beach Boys (2009), Senario Asam Garam (2010) dan Senario The Movie Ops Pocot (2011).

  • Filem Lagi Lagi Senario mencatat rekod kutipan paling tinggi RM6.33 juta selama 10 tahun sebelum dipecahkan Adnan Sempit (RM7.66 juta) pada 2010.

  • Album: Senario, Senario 2, Senario 3 - Seantero, Senario 4, Senario 5.

  • Smiley :)
    :D
    :)
    :[
    ;)
    :D
    :O
    (6)
    (A)
    :'(
    :|
    :o)
    8)
    (K)
    (M)

    No comments:

    Post a Comment

    Suka tak entri ni? Bagi komen sikit, nanti saya balas.