adsense 728x90


Recent Post

08 April 2013

Shaheizy Sam dinobatkan Bintang Paling Popular ABPBH 2012 - tahniah



KUALA LUMPUR: Aktor yang cukup menyerlah lakonannya menerusi filem Songlap dan Adnan Sempit 2, Shaheizy Sam Abdul Samad, memenangi gelaran Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012, yang berlangsung di Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Beliau yang lebih mesra dipanggil Sam, 31, meraih 79,656 undi, sekali gus mengetepikan saingan kelompok empat artis yang mendapat undi tertinggi dalam kategori utama itu - Aaron Aziz, Zizan Razak, Neelofa dan Adi Putra.
Berikutan kemenangan itu, Sam memenangi hadiah utama, kereta Nissan Coupe 370Z tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd berharga RM370,000, selain barang kemas Habib tajaan Habib Jewels Sdn Bhd bernilai RM150,000 berserta trofi.


Sam sebelum ini pernah memenangi anugerah tertinggi itu pada ABPBH 2010. Malah, atas tiket filem Songlap juga memberi kejayaan kepadanya muncul Pelakon Lelaki Terbaik pada Anugerah Skrin 2012 dan Aktor Terbaik pada Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2013 di Kuching, Sarawak, baru-baru ini.

Sam juga merampas kembali trofi yang pernah dimenanginya pada ABPBH 2010 apabila menang Pelakon Filem Lelaki Popular dengan mengenepikan pencabarnya - Aaron, Adi Putra, Bront Palarae dan Zizan.

Keputusan diperoleh menerusi undian pencalonan akhir ABPBH 2012 yang dibuat menerusi hampir 400,000 borang dan 50,000 SMS yang terima penganjur.

Trofi Bintang Paling Popular 2012 disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NSTP Bhd, Mohd Azlan Abdullah bersama Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mior Kamarul Shahid pada majlis kemuncak ABPBH 2012 di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini yang bertemakan Ledakan Geometri dengan dihadiri hampir 10,000 penonton.
Majlis gilang gemilang yang berlangsung lebih dua setengah jam itu turut disiarkan secara langsung menerusi TV3, stesen radio Hot FM dan laman web rasmi, www.abpbh.com.my.

Terdahulu, Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat diberikan kepada kumpulan rock terkenal yang bertahan lebih 30 tahun dalam industri muzik, Search. Trofi disampaikan Timbalan Pengarang Kumpulan BH, Mahfar Ali.

Sementara itu, Aaron yang meraih gelaran Bintang Paling Popular pada ABPBH musim lalu tidak pulang hampa kerana menang kategori Pelakon TV Lelaki Popular, sekali gus mengetepikan Adi Putra, Fahrin Ahmad, Johan As’ari dan Beto Kusyairi.

Buat kali pertamanya, aktres yang juga anak kepada Amy Search, Nabila Huda, mengungguli kategori Pelakon TV Wanita Popular, menyingkirkan dua pencabar terdekatnya – Izara Aishah dan Siti Saleha, selain Neelofa dan Fasha Sandha.

Hafiz mempertahankan gelaran Penyanyi Lelaki Popular yang diraihnya musim lalu, sementara Shila Amzah menang tipis bagi kategori Penyanyi Wanita Popular selepas mendapat saingan sengit daripada pencabar terdekatnya, Stacy.

Trofi Artis Duo/Berkumpulan Popular dimenangi Black dan Malique.

Pelakon yang terkenal dengan watak Kak Yong dalam filem Bini-Biniku Gangster dan Wawa Semput, Yana Samsudin memenangi trofi Pelakon Filem Wanita Popular, sekali gus menafikan peluang Maya Karin, Nora Danish, Lisa Surihani dan Neelofa.

Peserta program Mentor musim kelima, Aiman Hakim Redza, yang popular menerusi lakonannya dalam Vanilla Coklat dan Rindu Bertamu Di Abu Dhabi menang Artis Baru Lelaki Popular, manakala pelakon baru yang banyak membintangi filem terbitan Metrowealth Pictures (MIG), Wawa Zainal, meraih trofi Artis Baru Wanita Popular.

Didie Alias buat kali dua mengekalkan gelaran Artis Komedi Wanita Popular, manakala Zizan yang kecundang dalam kategori filem dan pengacara bagaimanapun boleh berpuas hati atas kejayaannya merampas semula trofi Artis Komedi Lelaki Popular yang dimenangi Johan tahun lalu.

Kategori Penyampai Radio Lelaki Popular dan Penyampai Radio Wanita Popular, masing-masing terus dimenangi muka sama sejak beberapa tahun lalu - Faizal Ismail dan Fara Fauzana, kedua-duanya dari Hot FM. Fara turut mengekalkan kemenangannya sebagai Pengacara TV Wanita Popular.

Datuk Aznil Nawawi berjaya merampas semula gelaran Pengacara TV Lelaki Popular selepas musim lalu kategori ini dimenangi Zizan.

Sementara itu, kategori berasingan menerusi undian dalam internet iaitu Online ABPBH 2012 menyaksikan Zizan memenangi empat kategori - Artis Lelaki Stailo, Artis Asia Paling Popular, Artis Berpengaruh Di Laman Media Sosial, termasuk bersama Johan menang Gandingan Serasi Di Layar. Sofi Jikan menang Watak Jahat Dalam Filem/Drama; Upin & Ipin (Watak Animasi Tempatan Popular) dan Melissa Francis (Artis Wanita Stailo).

ABPBH 2012 ialah edisi ke-26 penganjurannya oleh akhbar BH, iaitu acara menggabungkan pengiktirafan berdasarkan undian peminat menerusi borang disiarkan akhbar ini dan SMS untuk artis dan selebriti di negara ini dalam bidang perfileman, muzik, drama TV dan penyiaran.


Smiley :)
:D
:)
:[
;)
:D
:O
(6)
(A)
:'(
:|
:o)
8)
(K)
(M)

No comments:

Post a Comment

Suka tak entri ni? Bagi komen sikit, nanti saya balas.