adsense 728x90


Recent Post

10 April 2013

Yana hargai peminat



SEMAKIN hari, namanya semakin laris dan sebaris dengan pelakon popular lain. Di samping itu, namanya juga semakin menyerlah di kalangan pengarah filem dan drama tempatan.
Pernah menjadi antara pengarah filem paling muda dengan garapannya menerusi filem romantik komedi berjudul Selamat Pagi Cinta terbitan Metrowealth Movies Production (MMP) pada tahun 2008, Yana Samsudin semakin gagah melangkah dalam persada filem tempatan.
Ternyata gerangan anak kelahiran Yong Peng, Johor ini semakin mekar dalam dunia lakonan dan telah berlakon 15 buah filem, empat drama bersiri dan tiga buah telefilem sejak enam tahun terlibat dalam dunia seni.

Namun demikian, Yana tidak akan pernah berasa terlalu selesa dengan kedudukannya setelah bergelar Heroin Terhebat dalam Anugerah Blockbuster dalam satu majlis baru-baru ini.
Yana atau nama sebenarnya, Norliana Samsudin mengakui dia perlu setanding dengan apa yang diperoleh dan diharapkan oleh peminat serta perlu meningkatkan lagi usaha agar tidak menghampakan harapan mereka (peminat) yang banyak menyokong kejayaannya selama ini.
“Berbanyak terima kasih saya ucapkan kepada peminat kerana tanpa sokongan peminat, mana mungkin saya boleh berada dalam kedudukan sekarang. Peranan mereka memang cukup besar sehingga saya berjaya seperti sekarang," katanya.
Ditanya mengenai mutu lakonannya, Yana yang pernah menjadi heroin filem Bini-Biniku Gangster arahan Ismail Bob Hashim itu berkata, mutu lakonannya kini tampak semakin meningkat atas usaha sendiri dan sokongan peminat.

“Dengan berkat sokongan peminat, saya sentiasa berusaha untuk meningkatkan penampilan dan mutu lakonan agar peminat tidak jemu melihat kelibat saya dalam setiap filem atau drama lakonan.
“Saya percaya peminat sekarang memilih pelakon kesayangan mereka berdasarkan lakonan yang kita tampilkan dalam filem mahupun drama. Dan kerana itulah saya ingin buktikan kepada peminat bahawa saya boleh dengan hasil kerja yang amat membanggakan," ujarnya.
Selain itu, akui Yana, dia memang rapat dengan peminat dan akan menonjolkan komitmen yang tinggi dalam setiap filem lakonannya.
Pelakon yang juga seorang pengarah, penulis skrip dan penyanyi berkata, setiap kejayaan yang dia perolehi mempunyai ‘resipi’ tersendiri dengan sentiasa membuat penilaian sebelum menerima tawaran berlakon sesebuah filem biarpun ia terbitan syarikat yang mengurus perjalanan kariernya.
“Untuk muncul dalam sesebuah filem, kita perlu mementingkan kualiti lakonan kita sebelum kita mengejar dan perolehi sebarang populariti. Itulah prinsip saya dalam dunia seni ini.
“Saya lebih menitik beratkan soal watak biarpun diberi watak pembantu. Sebagai pelakon saya perlu warnakan watak itu agar ia menarik perhatian penonton. Setiap watak yang saya bawa adalah berbeza," jelasnya.

Biarpun ramai yang berpendapat dia tidak mementingkan kualiti dek kerana kerap muncul dalam filem terbitan syarikat naungannya, Yana menegaskan dan yakin perkara itu tidak akan berlaku.
Lupakan nyanyian
MUNGKIN ramai yang sudah mengetahui kehadiran Yana dalam bidang nyanyian sebelum ini.
Namun demikian, kemunculannya umpama ‘kurang gula’ kerana jualan album solonya yang berjudul Yana Ceria pada 2004 tidak seperti yang diinginkan.
Menginjak usia 29 tahun pada ketika ini, Yana mengakui akan memfokuskan kerjayanya dalam bidang lakonan dan terus mengukir nama dalam bidang yang disukainya.
Selain itu, Yana juga pernah muncul berduet dengan Shaheizy Sam dengan lagu berjudul Begini Caranya sebuah lagu tema filem Aku Ada Kau Ada, lakonan mereka berdua.
Yana pada mulanya memang tidak menyangka lagu tersebut akan menjadi siulan ramai dan sekarang ini lagu tersebut turut berada dalam kedudukan yang cukup selesa dalam carta lagu di radio.
Menurut Yana, memang ada permintaan supaya dia teruskan bidang nyanyian, namun dia berkata biarlah masa yang menentukan kerana belum cukup bersedia menghadapi semua itu.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pengarahan filem, Yana menegaskan, fokus utamanya kini adalah dalam bidang lakonan.
Percaya pada kemampuan diri, Yana berkata, dia bukan takut untuk mengarahkan filem kembali tetapi halangan dari segi masa yang perlu diseimbangkan dengan jadual penggambarannya yang amat padat ketika ini.

“Perkara itulah yang membuatkan masa saya terbantut dalam mengarahkan filem. Kini, rezeki saya boleh dilihat dalam lakonan, jadi apa salahnya jika saya fokus dalam bidang lakonan," ujarnya.
Tambah Yana, sekiranya ada rezeki untuk mengarah mana mungkin dia akan menolak dan yang pasti jika tiada halangan, dia akan mengarah filem keduanya pada tahun ini, selain tersenarai sebagai salah seorang pengarah dalam skim pengarah muda bersama Farid Kamil.
Tetapi baginya, biarlah urusan kerjayanya dijalankan dengan teliti dan sempurna sebelum membuat sesuatu penampilan yang lain.


Smiley :)
:D
:)
:[
;)
:D
:O
(6)
(A)
:'(
:|
:o)
8)
(K)
(M)

No comments:

Post a Comment

Suka tak entri ni? Bagi komen sikit, nanti saya balas.