adsense 728x90


Recent Post

06 May 2013

Belum janda, Nonis sudah dirisik



SEDANG dia terumbang-ambing mencari jalan keluar dalam masalah rumah tangga, nampaknya sudah ada yang menjenguk ruang kosong di hati dramatis terkenal, Monis Wara Baharudin, atau lebih dikenali sebagai Noniswara, 43.
Mengakui sudah dirisik beberapa kenalan untuk dijadikan sebagai isteri, bagi Nonis ini bukan waktu yang baik untuk dirinya berbicara soal pengganti.
 
Dalam keadaan status dirinya yang belum jelas, dia memilih untuk berhenti memikirkan soal lelaki buat seketika.
"Saya fikir mereka yang cuba merisik itu masih belum jelas dengan status saya, sebab itu mereka meluahkan hasrat. Mereka ada merisik walaupun sebenarnya saya masih lagi isteri orang.
"Tentang laporan yang mengatakan saya menarik balik permohonan cerai itu tidak benar. Saya masih meneruskannya dengan proses permohonan fasakh selepas suami saya gagal berkerjasama," katanya.
Mencungkil rahsia hati wanita ini, menurut Nonis secara jujurnya rasa trauma melalui pengalaman kali kedua itu bukan mudah, malah sehingga ke saat ini dia masih belum mampu berfikir untuk sekali lagi menemui cinta baru.
"Memang saya serik, tetapi sampai bila rasa serik itu, saya juga tidak tahu.
"Namun buat masa ini fokus saya hanya untuk memberi tumpuan buat anak-anak dan kerjaya sebagai pelakon sahaja," katanya yang mahu menjadikan bidang lakonan sebagai punca rezeki tetapnya selepas ini.
Masih menjalankan kehidupan seperti biasa, berkongsi perasaannya ketika ini, bagi Nonis melaluinya untuk kali kedua memberikan dirinya lebih sebab untuk menjadi lebih tabah berbanding dahulu.
"Sesiapa juga kalau berkahwin mahu hidup selama-lamanya dengan pasangan tersebut, tetapi saya reda dengan ketentuan ini.
"Tiada sebab untuk saya meratapi kerana yakin setiap dugaan ini akan hadir dengan hadiah yang lebih besar suatu hari nanti," katanya.
 
Mengakui berpegang teguh dengan keputusannya untuk berpisah secara baik dengan suami, Datuk Rosman Ridzwan, tiada sebab untuk dia terus bercerita mengenai kisah orang ketiga yang menyebabkan hubungan dia dan suaminya itu bermasalah.
"Sebagai isteri tentu saya tahu apa yang berlaku dalam rumah tangga kami. Tetapi saya tidak akan sentuh lagi soal orang ketiga, kerana yakin ia tidak akan mendatangkan apa-apa kebaikan kepada kami," katanya.
Mendirikan rumah tangga pada 1 Ogos 2009, jika ada yang menuduh dia tidak pernah mempertahankan rumah tangga itu, ia merupakan tanggapan yang salah.
 
"Sudah hampir empat ke lima bulan kami tidak berhubung. Secara jujurnya saya berasakan dia (Rosman) sebagai seorang yang tidak bertanggungjawab kerana membiarkan saya begini.
"Dia pernah menghantar SMS kepada saya yang memberitahu dia akan menjemput saya, tanpa hujung pangkal saya langsung tidak faham apa yang cuba disampaikan. Pernah saya menelefon dan menghantar SMS kepadanya namun tidak dibalas pula," katanya.
Berterus terang, tiada lagi sinar bahagia di antara dia dan Rosman, harapan Nonis agar perkara ini cepat selesai dan mereka berdua mampu memacu kehidupan baru kelak.
"Bagi saya tiada lagi peluang untuk kami. Cukuplah, biar semuanya selesai dan saya boleh kembali fokus untuk perkara lain," katanya yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran sebuah drama bersiri baru-baru ini.
Kala diajukan soalan ringkas mengenai ciri-ciri lelaki yang mungkin akan diterima untuk menjengah hatinya suatu hari nanti, kalau boleh dia mahu mencari lelaki yang berada di jalan agama.
"Pendek kata yang mementingkan nilai agama di dalam sesebuah keluarga. Itu yang saya mahu," tegasnya.
Bagaimanapun melalui episod yang sama selama dua kali banyak membuka mata wanita yang berasal dari Kelantan ini agar lebih berhati-hati pada masa hadapan.
"Mana-mana wanita juga pastinya mahu sebuah rumah tangga yang berkekalan, tetapi jika ia berlaku saya nasihatkan banyak bersabar.
"Untuk saya sendiri ada lebih baiknya saya mengambil waktu dahulu sebelum benar-benar yakin untuk kembali mencari cinta," katanya penuh jujur.


Smiley :)
:D
:)
:[
;)
:D
:O
(6)
(A)
:'(
:|
:o)
8)
(K)
(M)

No comments:

Post a Comment

Suka tak entri ni? Bagi komen sikit, nanti saya balas.