adsense 728x90


Recent Post

01 May 2013

Yuna tuai hasil - tahniah



Ada sebab mengapa penyanyi tinggi lampai ini untuk berasa teruja dan gembira. Segala usaha, serta penat lelahnya berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) untuk menjual ‘bakat’ nampaknya mula menampakkan hasil.

Jika sebelum ini Yuna membuat negara bangga apabila dilamar komposer terkenal, David Foster, untuk bernaung di bawah syarikat rakamannya, Verve Records, kini ‘benih’ yang ditanam itu sudah menampakkan tunas.
Menurut pemilik nama Yunalis Zarai ini, hasil kerjanya bersama Verve akan dapat dikongsi bersama peminat menjelang 7 Mei ini, iaitu EP berjudul 6ixth Street.


“EP ini mengandungi lima lagu dan untuk single pertama saya memilih I Wanna Go. Terus terang saya memang berdebar dan pada masa sama gembira kerana tidak sabar untuk melihat reaksi peminat terhadap album ini.

“Muzik I Wanna Go mempunyai sentuhan ketimuran, iaitu kedengaran seperti bunyi kompang, yang dihasilkan daripada gendang. Saya memang mahu selitkan muzik sebegitu. Saya berharap, untuk album penuh yang bakal dipasarkan September depan, saya sekali lagi dapat menghasilkan muzik sedemikian,” katanya ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai Duta Sosial Media Penerbangan Malaysia (MAS) di The Publika, Dutamas, malam kelmarin.

Ditanya pandangan Foster selepas mendengar keseluruhan album itu, penyanyi berusia 26 tahun ini berkata, pujian lebih kepada vokal dan gaya penyampaiannya.

“Buat masa ini album itu hanya dipasarkan di sini dan peminat di Malaysia bolehlah mendapatkannya secara atas talian dan di iTunes Malaysia,” terang Yuna.
Akur tewas kepada Shila

Sesekali bertemu penyanyi ini, banyak benda yang ingin ditanyakan. Maklum sajalah, menetap di Los Angeles demi tuntutan kerjaya membuatkan peluang untuk mewawancara penyanyi Terukir Di Bintang ini terbatas.

Antaranya, apakah reaksinya apabila trofi Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH yang dimenangi tahun lalu gagal dipertahankan. Sebaliknya, gelaran itu berpindah kepada Shila Amzah.

Mengulas perkara terbabit, Yuna lebih suka melihat kekalahan itu dari sudut positif.

“Shila layak untuk menang kerana dia memang popular. Pada saya, dia artis yang berbakat besar serta mampu pergi jauh dalam bidang ini. Sekarang ini pun dia sudah terkenal di Shanghai dan bakal menghasilkan album di luar negara,” katanya.

Dapat layanan istimewa?


Mengenai pelantikannya sebagai Duta Sosial Media MAS, Yuna berkata, perkara itu sudah lama diimpikannya.

“Kerjasama saya dengan MAS bermula ketika menjayakan projek MHbuddy Meets the World Travelogue, tahun lalu. Saya impikan saat ini dan bangga apabila berpeluang bekerjasama dengan produk tempatan,” katanya.

Diusik pertanyaan apakah dia akan menjadi anak emas syarikat penerbangan terbabit selepas ini, katanya, perkara itu lebih kepada situasi menang-menang.

“Sepanjang saya menggunakan khidmat mereka, MAS tidak pernah memberi sebarang masalah buat saya. Jadi kerjasama ini saya lihat lebih kepada menguntungkan kedua-dua pihak. Saya membantu mereka dari segi promosi dan secara tidak langsung ia juga mendekatkan peminat saya dengan mereka,” ujarnya.

Pada majlis itu Yuna diberikan Kad Enrich Emas oleh Ketua Pemasaran MAS, Dean Dacko, sebagai ganjaran atas kesetiaannya menggunakan penerbangan itu.

Terdahulu, Yuna turut menghiburkan peminat yang hadir dengan rangkaian lagu popularnya termasuk single terbaru di Malaysia, Lelaki, dan I Wanna Go


Smiley :)
:D
:)
:[
;)
:D
:O
(6)
(A)
:'(
:|
:o)
8)
(K)
(M)

No comments:

Post a Comment

Suka tak entri ni? Bagi komen sikit, nanti saya balas.