adsense 728x90


Recent Post

20 March 2014

Fuying, Sam ingin tembusi pasaran Melayu



DUA jejaka kacak, Fuying dan Sam mula menyimpan impian untuk bergelar seorang penyanyi ketika usia belasan tahun. Akhirnya, pada Disember 2012, Fuying atau nama sebenarnya Ong Fu Ying, 21, dan Sam Chin Neng (Sam), 24, tampil dalam kumpulan duo dengan album Love Protection.
Berjaya meraih perhatian peminat, di bawah label Halo Music (M) tahun ini mereka lahir dengan album Love & Dream.
“Kami bermula daripada bawah dan sekarang kami sudah mempunyai peminat tersendiri. Album kami sepenuhnya dalam bahasa Mandarin tetapi kami yakin, kami juga mempunyai peminat Melayu kerana ramai orang Melayu sudah boleh berbahasa Mandarin.
“Buktinya, jika kami buat persembahan, ada peminat Melayu yang akan menyanyi bersama-sama kami. Melihat situasi itu telah membakar semangat kami untuk meluaskan lagi pengaruh kami terhadap peminat Melayu,” kata Fuying.
Meskipun belum berkesempatan untuk merakam sebarang lagu berbahasa Melayu, jelas Fuying, jika diberi peluang dan ruang mereka teringin merakamkan sebuah lagu berbahasa Melayu.
“Kami sedar untuk mempunyai kelompok peminat Melayu, kami harus mempunyai lagu dalam bahasa Melayu seperti mana yang dilakukan oleh idola kami iaitu Soo Wincci.
“Dia bermula daripada bawah dan sekarang ramai orang Melayu mengenalinya. Kami ingin berjaya sepertinya tetapi sebelum itu, kami harus mempertingkatkan bahasa Melayu kami sendiri,” ujar Fuying.
Selain Malaysia, kumpulan duo ini juga merancang untuk meluaskan kerjaya seni mereka ke luar negara.
“Halo Music mempunyai beberapa cawangan di negara luar. Sasaran kami bukan hanya peminat di Malaysia tetapi juga kami mahu menembusi pasaran antarabangsa.
“Sebagai permulaan Halo Music di Taiwan telah mengatur strategi promosi untuk kami popular di sana. Peringkat permulaan kami diberi peluang menjadi duta untuk satu produk makanan ringan di sana.
“Walaupun kami tidak segera popular tetapi secara tidak langsung dapatlah kami mencipta nama perlahan-lahan di Taiwan. Jika tiada halangan kami akan menghasilkan album penuh khusus untuk peminat dan pasaran di sana,” kata Fuying yang boleh mencipta lagu sendiri.
Tidak hanya mahu bergelar penyanyi, pasangan duo ini turut menceburi bidang lakonan dan bakal ke lokasi penggambaran filem The Dream Boyz tidak lama lagi.
Tegas mereka, meskipun bidang lakonan agak berbeza daripada bidang nyanyian, rezeki yang datang tidak harus ditolak sebaliknya kepercayaan yang diberi harus dilaksanakan sebaik mungkin.
“Memang minat utama kami adalah menyanyi tetapi kami mahu menjadi artis yang versatil. Kami mahu membuktikan kami artis berbakat dan mampu lakukan apa sahaja selain daripada menyanyi.
“Melalui filem The Dream Boyz ini, kami harap dapat membuka mata lebih ramai peminat untuk terus menyokong kami,” ucap Fuying sambil dipersetujui oleh Sam.
Harapan mereka, suatu hari nanti mereka mampu mengadakan sebuah konsert berskala besar di Malaysia dan luar negara.
“Tanyalah mana-mana penyanyi, rasanya itulah harapan terbesar mereka. Saya harap suatu hari nanti kami akan popular dan mampu mengadakan konsert untuk menghiburkan peminat.
“Sebelum mampu mengadakan konsert sendiri, kami harus berusaha keras dan harap peminat akan terus memberi sokongan kepada kami,” tutur Sam sambil menutup bicara.


Smiley :)
:D
:)
:[
;)
:D
:O
(6)
(A)
:'(
:|
:o)
8)
(K)
(M)

No comments:

Post a Comment

Suka tak entri ni? Bagi komen sikit, nanti saya balas.